“Anak sudah hendak masuk dua orang, duit simpanan seperti ada dalam tiada”.
Walaupun saya seorang eksekutif swasta dan suami seorang kontraktor tetapi pengurusan kewangan kami tidak begitu baik 8 tahun lepas. Sebelum berkahwin, kami sudah mempunyai hartanah yang disewakan atas nama masing-masing sebagai pendapatan pasif sekarang dan berharap dapat dijadikan dana pencen apabila tua nanti. Cuma sikap boros dan tiada ilmu kewangan menyebabkan kewangan kami tidak kukuh. Maka saya dan suami mula mencari peluang buat duit tambahan dengan hadir beberapa seminar perniagaan.
Sejak ada anak, beberapa kali duit anak jadi ‘talian hayat’ sementara kami dapat gaji seterusnya. Sewaktu berpantang anak kedua, saya mula terfikir untuk mencari cara urus duit dengan baik dan mempunyai simpanan yang bertahan lama. Tabiat kewangan yang buruk ini mesti dihentikan.