Saya merupakan seorang bekas Health, Safety & Environment Executive di PETRONAS dan mempunyai latar belakang dalam Kejuruteraan Kimia. Semasa saya bekerja, boleh dikatakan saya tiada ilmu kewangan dan langsung tidak mengenali emas. Hidup saya sekadar seorang pekerja yang hanya menjalankan tanggungjawab dan melunaskan kerja-kerja yang majikan saya beri.
Saya hanya tahu menyimpan duit dan bayar hutang, selain dari itu saya memang ZERO tentang kewangan sehinggalah pada tahun 2014 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya perlu fokus pada anak kembar dan keluarga saya pada ketika itu. Jadi saya fikir, saya perlu mencari sesuatu yang boleh dilakukan dari rumah sahaja supaya saya boleh bekerja/berbisnes sambil menjaga anak-anak.
Saya berhenti kerja setelah saya langsaikan hutang kereta saya dan ada simpanan sekitar setahun gaji. Boleh dikatakan agak selesa kerana saya tiada komitmen, jadi duit itu memang untuk perbelanjaan saya sendiri, yang lain-lain suami saya yang menguruskan kewangan keluarga kami.
Namun, selepas setahun saya berhenti kerja, saya mula menjadi resah kerana duit simpanan saya semakin menyusut. Saya kalah dengan nafsu berbelanja, masuk kelas macam-macam yang bayarannya mencapai ribuan ringgit, saya cuba bisnes yang pelbagai tetapi tidak berjaya dan ada juga yang pinjam duit tapi tidak membayar semula.