Asal Duit Adalah Emas

Selepas mulai sedar nilai duit yang kita gunakan hari ini bukan terletak pada kertasnya, saya teruskan
kajian saya tentang sejarah mata
wang. Dulu saya fikir, duit yang kita gunakan hari ini dikeluarkan bersandarkan kepada emas. Rupa-rupanya saya silap.

Sebenarnya duit kertas yang kita gunakan hari
ini tidak ada kena-mengena lagi dengan emas sejak 15 Ogos 1971, iaitu setelah Amerika memutuskan hubungan antara emas dengan US Dollar dan melanggar perjanjian Bretton Woods yang dipersetujuinya pada 1944.

Semenjak daripada itu, ia menjadi “wang fiat”, iaitu duit yang dikeluarkan tanpa disandarkan kepada apa-apa aset fizikal. Ia dikeluarkan out of nothing menurut Profesor Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera.

Sejarahnya begini.

Sebelum 1971, setiap wang kertas US Dollar yang hendak dicetak perlu disandar dengan emas. Setiap 35 Dollar yang hendak dikeluarkan (dicetak), mesti disandar dengan emas seberat satu troy oz (31.1 gram). Maksudnya, duit Dollar itu hanyalah baucar bagi mewakili emas. Duit sebenar ialah emas.

Sebab itu kalau kita lihat wang kertas Dollar sebelum 1971 tertulis padanya “redeemable in gold on demand…”. Maksudnya, duit itu boleh kita bawanya ke bank untuk ditukarkan kepada emas. Wang kertas itu hanyalah baucar mewakili emas sahaja. Duit sebenar adalah emas.

Sistem Kewangan Dimanipulasi

Sistem itu berakhir apabila Amerika mempunyai masalah ekonomi berikutan peperangan yang begitu panjang dengan Vietnam (dan mereka tidak menang kecuali dalam cerita Rambo sahaja!). Maka mereka mencari idea memanipulasi sistem kewangan.

Mengikut perjanjian Bretton Wood pada tahun 1944, US Dollar tidak boleh dicetak tanpa disandar dengan emas. Maka jalan pintasnya, mereka putuskan sahaja hubungan antara duit Dollar dan emas!

Dollar boleh dicetak sesuka hati semenjak 1971. Itulah rahsianya kenapa Amerika kaya-raya dan berkuasa pada hari ini. Menurut pakar sejarah mata wang Michael Maloney, penciptaan “wang fiat” adalah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.

Perkara begini sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam sejarah manusia. Bahkan kalau kita baca sejarah, ia telah pun dibuat pada zaman kerajaan Greek dan Rom dahulu lagi. Di negara kita pun pernah berlaku, iaitu pada zaman Jepun memerintah Tanah Melayu. Duit dicetak sesuka hati oleh kerajaan Jepun di Tanah Melayu hingga berlaku hiperinflasi yang menyebabkan kuasa beli duit kertas jatuh mendadak. Dengan kata lain, kekayaan rakyat sebenarnya dirompak oleh pemerintah dalam tidak sedar.

Harga Emas Mendatar 100 Tahun

Kalau semak graf harga emas di www.kitco.com, kita dapati harga emas tidak naik lebih 100 tahun. Ya, lebih 100 tahun iaitu sejak 1883. Graf harga emas mendatar sahaja. Persoalannya kenapa?

Adakah tiada permintaan kepada emas?

Bukan. Jawapannya, duit yang digunakan
 pada ketika itu sebenarnya adalah emas.
Walaupun mereka memegang wang kertas, tetapi hakikatnya kertas itu hanyalah baucar ataupun kupon sahaja. Maka harga emas memang tak ada naik turun sebab duit itu sendiri adalah emas.

Masih ingatkah zaman sekolah dahulu? Pihak sekolah mengedarkan kupon untuk hari kantin atau hari usahawan. Murid-murid perlu membeli kupon untuk berbelanja pada hari usahawan itu. Kupon itu bukanlah duit, tetapi ia hanyalah alat mewakili duit sahaja.

Jadi, begitulah juga dengan sistem kewangan dunia sebelum 1971. Wang kertas hanyalah alat bagi mewakili wang yang sebenar iaitu emas.

Emas Naik atau Kuasa Beli Jatuh?

Apabila saya faham hakikat ini, saya tidak begitu teruja dengan naik turun harga emas. Saya melihat emas adalah sebagai alat penyimpan kekayaan sebenar. Manakala kekayaan yang disimpan dalam bentuk duit kertas hanyalah bersifat maya. Pada bila-bila masa kekayaan itu boleh hilang begitu sahaja, sebab wang kertas boleh dimanipulasi (oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab). Sedangkan emas tidak. Emas tidak boleh dimanipulasi. Ia adalah ‘duit’ ciptaan Tuhan yang disimpan dalam perut bumi untuk manusia.

Bagi sesiapa faham hakikat ini, harga emas naik selalunya bukanlah satu petanda baik. Di sebalik kenaikan itu, ada berita yang kurang menyenangkan iaitu kuasa beli duit kertas kita yang jatuh.

Cuba bayangkan, sebelum 1971 kita perlu membayar 35 Dollar untuk mendapat emas seberat satu troy oz (31.1 gram). Sekarang, kita perlu membayar lebih 1,000 Dollar untuk dapat emas pada berat yang sama!

Persoalannya, harga emas naik atau kuasa beli duit itu sendiri yang jatuh? Dari satu sudut, ya memang harga emas yang naik. Dari sudut yang lain, sebenarnya duit kertas yang jatuh.

Saya ambil contoh mudah; pada tahun 1980-an, harga sebiji karipap di Malaysia ialah 10 sen. Untuk dapat karipap yang saiznya sama pada hari ini, kita perlu membayar 50 sen. Kita perlu membayar jumlah duit lima kali ganda berbanding dahulu untuk dapat karipap yang sama.

Misteri Karipap yang Hilang

Persoalannya, dengan kenaikan harga karipap sebanyak lima kali ganda, adakah mak cik peniaga karipap zaman sekarang lebih kaya berbanding mak cik peniaga karipap tahun 1980- an dahulu?

Tentunya tidak, kan?

Begitu jugalah dengan emas.

Walaupun harga emas naik berkali-kali ganda berbanding dahulu, hakikatnya penyimpan emas tidak semakin kaya! Ya, betul. Tidak bertambah kaya, tetapi kekayaannya bertahan. Kuasa beli emas bersifat kekal. Ya, kekal. Tidak bertambah dan tidak berkurang.

Buktinya, pada zaman Nabi Muhammad SAW (lebih 1400 tahun yang lalu), satu dinar (emas seberat 4.25 gram, berketulenan 999.9) mampu beli seekor kambing. Hari ini, satu dinar juga mampu beli seekor kambing. Walaupun harga emas telah pun naik berkali-kali ganda berbanding tahun 80-an dahulu, satu dinar tetap mampu beli seekor kambing sahaja. Ia tak mampu beli 10 ekor ataupun 100 ekor kambing.

Kita Tertipu dengan Nombor

Maksudnya, penyimpan emas sebenarnya tidak bertambah kaya dengan hanya kenaikan harga emas. Sebaliknya kekayaan mereka bertahan daripada inflasi. Kekayaan mereka bersifat kekal. Tidak bertambah dan tidak berkurangan.
Berbeza dengan simpan duit di bank. Walaupun nombornya sama, hakikatnya kita semakin miskin disebabkan kuasa beli duit kertas yang merosot dari tahun ke tahun akibat ‘dimakan’ inflasi. Kuasa beli RM10,000 pada sepuluh tahun yang lalu tidak sama dengan RM10,000 pada hari ini. Kuasa beli RM10,000 hari ini mungkin hanya separuh sahaja kuasa belinya berbanding 10 tahun yang lalu.

Walaupun nombornya kekal tetapi kuasa belinya berkurangan. Sebagai contoh harga karipap itu tadi, duit 10 sen hari ini tidak lagi mampu membeli sebiji karipap sebagaimana tahun 1980-an dahulu. Walaupun nombornya kekal 10 sen tetapi kuasa belinya telah hilang. Hakikatnya kita tertipu dengan nombor sahaja.

Jadi, duit kertas hanyalah sesuai dijadikan alat untuk medium transaksi jual beli sahaja. Ia tidak sesuai dijadikan simpanan dalam jangka panjang disebabkan ia tidak mampu menyimpan nilai. Penyimpan nilai paling ampuh yang digunakan oleh manusia dalam sejarah adalah emas (dan perak) sahaja.

Zulkifli
Damansara Damai
25 Mei 2017
28 Syaaban 1438H

[Kredit foto :  ifashops]

12 Comments

  1. Ya segalanya benar, tetapi kesalahan yang sangat sangat bersistem masih tidak dapat diatasi, tetapi mudah-mudahan dapat diatasi suatu waktu nanti Inn Syaa Allah.

  2. salam cik zul,
    saya nak berkongsi pglmn saya, kalau simpan emas akan bertambah, tapi kalau duit, tak sempat disimpan akan menyusut. sbb emas ada aura yg buat kita ingin menambah dr masa ke semasa, tp duit aura dia, tahu nak hbskan je.

  3. Assalamualaikum Encik Zul,

    Betul .
    Dengan emas kekayaan bertambah dan kekal .. itu yang penting.

  4. Sebelum ni baca website yang ditulis orang barat, mostly from the USA. From their perspectives, wang fiat lebih menguntungkan & lepas saya baca penerangan saudara, terus faham apa itu wang fiat. Sememangnya bagi mereka wang fiat menguntungkan sebab mereka kuasa besar yang memanipulasi ekonomi dunia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *