Emas Sebagai Duit Ketika Gawat

Emas bukan barang keperluan, sama macam duit kertas juga. Ia hanyalah penyimpan nilai dan dijadikan medium transaksi sahaja. Kalau berlaku kegawatan ekonomi, orang perlukan barang keperluan untuk terus hidup. Duit atau emas tidak berguna lagi waktu itu sebagaimana apa yang berlaku pada musim banjir yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan di negeri Kelantan pada hujung tahun 2014 dahulu.

Pada waktu itu, kami sekeluarga juga antara yang terperangkap selama 5 hari. Di saat kami terputus hubungan dengan dunia luar, kami tak perlukan duit, tetapi kami perlukan barang keperluan seperti makanan, lilin, susu anak, pampers dan lain-lain keperluan termasuk petrol untuk motosikal bergerak bagi memerhati perkembangan banjir (sebab tiada line telefon, TV, radio dll. Telefon bimbit pun tak boleh digunakan sebab sudah kehabisan bateri dan tiada elektrik untuk caj semula).

Disaat Duit Tidak Bernilai

Dalam keadaan gawat begitu, duit (atau emas) tidak begitu ‘bernilai’ bagi kami. Kami sanggup bayar harga yang mahal untuk dapat barang keperluan. Kami mahukan barang keperluan, bukan nak duit. Kalau ada duit banyak sekalipun, banyak pekedai runcit tak jual barang-barang di kedai mereka sebab barang-barang itu adalah ‘rizab’ mereka kalau-kalau banjir terus berpanjangan.

Dalam keadaan begitu, amat susah untuk dapatkan barang keperluan.

Untuk dapatkan bekalan petrol sahaja, saya terpaksa berkayuh basikal meredah banjir sejauh 30 kilometer dari kampung Tendong (Pasir Mas). Saya mengayuh basikal menghala ke Kota Bharu, tetapi kebanyakkan jalan raya telah ditenggelami air yang menyebabkan saya terpaksa menukar arah ke Ketereh. Sampai di stesen minyak Ketereh, stesen itu juga kehabisan minyak! Kalau saya mahu dapatkan juga bekalan petrol, saya perlu terus berkayuh sekurang-kurangnya lagi 30 kilometer untuk membelinya di Pasir Puteh!

banjir-kota-bharu-kelantanDalam keadaan yang buntu itu, tiba-tiba saya ternampak dua remaja bermotosikal sedang membawa segalen petrol. Mereka baru sahaja balik daripada membeli petrol tersebut di Pasir Puteh. Kalau nak ke Pasir Puteh juga, saya rasa sudah tak larat untuk berkayuh lagi. Kebetulan dalam poket saya cuma ada RM45. Saya panggil remaja itu dan membayar RM40 kepada mereka hanya untuk segalen petrol sahaja yang harga sebenarnya tak sampai pun RM10!

Walaupun harganya terlalu mahal, disaat susah mendapat barang keperluan, duit tidak begitu bernilai. Berapa sahaja harganya, kita sanggup membayarnya.

Dalam situasi matawang tidak bernilai pula, ia berbeza.

Untuk dapatkan barang keperluan, kita perlu membayarnya dengan sesuatu yang bernilai sebagai ALAT TUKARAN. Kalau duit tidak lagi bernilai, apakah alat tukaran yang diterima oleh semua sebagai sesuatu yang bernilai?

Tentunya emas (dan perak).

Emas Sebagai Alat Tukaran

Semua orang pada setiap zaman percaya emas adalah barang bernilai. Ia boleh dipecah-pecahkan mengikut berapa kecil pun saiznya untuk dijadikan alat tukaran.

Ia bukan benda baru. Ia telahpun dijadikan penyimpan nilai sejak zaman-berzaman lagi.

Sebab itu pakar kewangan Tuan Azizi Ali sarankan, setiap kita perlu simpan sekurang-kurangnya 10% daripada nilai kekayaan kita dalam bentuk emas sebagai ‘insuran’ kekayaan. Kalau berlaku gangguan ekonomi atau politik, penyimpan emas juga akan susah, tetapi sekurang-kurangnya simpanan emas itu tak terjejas. Bahkan, ia boleh digunakan sebagai alat tukaran dan membina semula kehidupan selepas gawat sebagaimana apa yang berlaku kepada penduduk di Rantau Panjang, Kelantan.

rantau-panjang-banjirRantau Panjang terletak bersebelahan Sungai Golok (Thailand) antara tempat terawal ditenggelami banjir. Sekurang-kurangnya 1 atau 2 minggu “supply” keperluan dari luar tak dapat sampai masuk ke kawasan itu. Kedai-kedai kehabisan barang. Lebih teruk, bank juga ditenggelami banjir dan bekalan elektrik juga terputus. Kalau ada duit berjuta sekali pun dalam akaun bank, ia tak dapat dikeluarkan sebab mesin pengeluaran wang (ATM) juga tidak berfungsi! Jutawan juga jatuh miskin ketiga gawat begitu.

Emas ‘Menyelamat’ Mangsa Banjir

Seorang rakan Facebook saya menceritakan, ahli keluarganya dan ramai penduduk Rantau Panjang terpaksa masuk ke Thailand untuk dapatkan barang keperluan. Tetapi malangnya, peniaga Thailand tak terima duit Ringgit Malaysia! Apa yang mereka boleh buat hanyalah menjual emas-emas mereka di Thailand dan menggunakan duit Thailand itu untuk dapatkan barang keperluan di sana. Disaat gawat begitu katanya, emas-emas yang rosak dan patah pun bernilai. Orang Thailand tak terima ringgit, tetapi mereka terima emas!

fb-emas-menyelamat-penduduk-banjir-rantau-panjangEmas sememangnya terbukti dalam sejarah digunakan sebagai duit antarabangsa. Ia duit yang tiada sempadan negara dan masa! Ia laku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Zulkifli
Damansara Damai
12 Disember 2016
13 Rabiul Awwal 1438H

[Kredit foto : mstar ]