Harga Emas Dunia vs Malaysia
Sekarang harga emas dunia di paras paling rendah dalam tempoh 5 tahun. Tetapi harga emas di Malaysia bukanlah yang paling rendah sebab hujung 2014 hari tu harganya lebih rendah. Ini disebabkan faktor kejatuhan ringgit. Kalau ringgit kekal RM3.20/USD seperti tahun lepas, harga emas ketulenan 999.9 keluaran Public Gold mungkin bawah RM130 per gram! Tetapi disebabkan hari ini nilai ringgit sekitar RM3.85/USD, maka harga emas sekarang sekitar RM145 sahaja. Saya rasa agak susah untuk harga turun di bawah RM140/gram.
Jadi adakah patut tunggu ringgit naik semula baru nak beli emas? Saya rasa ringgit akan terus jatuh dalam tempoh setahun ini disebabkan isu-isu ekonomi, skandal kewangan negara dan krisis politik dalam kerajaan Malaysia hari ini. Jadi ini bukan masanya untuk tunggu harga lebih rendah; tak siapa tahu bila harga paling rendah. Tahu-tahu harga dah naik balik dan menyesal tak beli.
Harga Emas Jatuh vs Ringgit Jatuh
Seperti yang saya pernah tulis dalam banyak artikel sebelum ini, kalau harga emas jatuh, ia sesuatu yang menyeronokkan bagi penyimpan emas (seperti saya), tetapi kalau ringgit jatuh, ia bukan sesuatu yang menyeronokkan. Bahkan ia sesuatu yang merisaukan sebab kejatuhannya tiada had, tidak seperti emas.
Harga emas terendah dalam tempoh 5 tahun (sumber)
Ringgit juga terendah dalam tempoh 5 tahun (sumber)
Emas, lagi harganya jatuh, lagi ramai orang beli hinggakan habis emas di kedai-kedai emas di China waktu berlaku kejatuhan mendadak tahun 2013 dahulu. Ia sangat berbeza dengan ringgit dan duit kertas yang lain. Ringgit pernah jatuh sebanyak 50% setahun (turun hingga RM4.70/USD) ketika krisis kewangan 1997. Ringgit, lagi jatuh nilainya, lagi orang ‘lari’. Itulah bezanya simpan emas dan simpan duit kertas.
Ringgit pernah jatuh ke paras RM4.72 (sumber)
Pelabur vs Penyimpan Emas
Secara jujurnya, saya bukanlah PELABUR emas yang beli sekadar untuk “buy low, sell high”, tetapi saya adalah seorang PENYIMPAN emas. Kenaikan harga emas bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi saya. “Pelabur emas” fokus kepada RM, tetapi “penyimpan emas” seperti saya fokus kepada GRAM – berapa gram emas yang sudah saya miliki. Maka saya cuma beli, beli, dan beli. Sejak hari pertama membeli emas, saya tak pernah jual.
Saya menyimpan emas sebagaimana saya simpan wang kertas iaitu, terus menyimpan selagi tak ada keperluan untuk digunakan. Saya jadikan emas sebagai salah satu bentuk simpanan jangka panjang sebagaimana matlamat saya dalam membeli hartanah. Nilai aset fizikal begitu lebih terjamin berbanding simpan dalam bentuk KERTAS (wang kertas) yang ditulis nombor di atasnya.
Nasihat Untuk Pelabur Emas
Bagi pelabur emas yang hanya mahukan “buy low, sell high”, bila harga emas jatuh begini, inilah masanya untuk membeli atau tambahkan lebih banyak belian. Kalau beli emas untuk terus jual bila harga naik, pilih item yang spread / susut nilai paling rendah supaya lebih cepat untung bila harga emas naik balik. Kalau emas Public Gold, item yang spread paling rendah (mengikut keutamaan); gold bar 250 gram, gold bar 100 gram, dan gold bar 50 gram dan coin 10 Dinar. Harga semasa boleh semak di website Public Gold .
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
31 Julai 2015M
15 Syawal 1436H
(Kredit foto : therealasset)
