Cara Manfaatkan Duit Bank Untuk Kaya
Apa yang berlaku di Greece sekarang, inilah antara faktor utama kenapa saya mencari instrumen yang lebih selamat hingga akhirnya saya buat keputusan; duit simpanan jangka panjang perlu disimpan dalam bentuk emas dan aset fizikal lain, bukan dalam bentuk duit kertas. Sekarang bank di Greece diarahkan bercuti untuk hadkan pengeluaran duit oleh penyimpan. Lebih 7,000 mesin ATM sudah kehabisan duit disebabkan kerisauan orang ramai tentang krisis kewangan Greece sekarang.
Bila memerhati apa yang berlaku di Greece dan ditambah lagi krisis kejatuhan ringgit Malaysia, rasa takut pula nak simpan duit dalam bank. Rasa nak keluarkan kesemuanya dan beli emas termasuk duit dana kecemasan. Kecuali duit yang benar-benar nak digunakan dalam masa terdekat sahaja.
Hakikat Sistem Perbankan
Hakikat bila simpan duit dalam bank; nak masukkan duit TIADA HAD, tapi bila nak keluarkan duit, ADA HAD dan banyak syarat. Ada limit harian, kalau nak keluarkan lebih limit harian kena pergi home branch, kalau nak naikkan limit pengeluaran harian (untuk akaun bisnes) kena bagi alasan kukuh dan macam-macam lagi.
Nak masukkan duit memang mudah, tapi bila nak keluarkan duit (milik kita sendiri), hakikatnya ia tak mudah…
Dengan sistem perbankan sekarang, kita pun boleh cepat kaya kalau duduk di posisi bank. Semua orang bagi kita simpankan duit mereka (seolah-olah kita dapat pinjaman TANPA INTEREST), dan duit orang itu pula dilaburkan dan DIPINJAMKAN SEMULA dengan caj yang mahal kepada ORANG YANG SAMA! Orang yang simpan duit dengan bank, orang itu jugalah yang meminjam duit daripada bank… 🙂
Savers Are Losers
Jadi jangan “simpan kekayaan” dalam bentuk duit kertas di bank. Bank hanya terbaik dijadikan tempat simpan duit yang nak digunakan dalam masa terdekat sahaja sebab kata Robert Kiyosaki, “savers are losers“. Orang yang menyimpan duit kertas ialah orang yang rugi. Kita akan rugi sebab duit itu dimakan inflasi; hakikatnya ialah penyusutan kuasa beli duit itu dalam jangka panjang yang disebabkan bank terus mencetak duit tambahan. Bila nak menyimpan kekayaan, simpan bentuk aset yang boleh meningkat dalam jangka panjang (antaranya emas, perak, hartanah, dan bisnes).
Lagi satu hakikat yang kita perlu tahu, sejak 1971 hingga sekarang, dunia berada dalam sistem kewangan berasaskan hutang kata Robert Kiyosaki. Orang yang tahu memanfaatkan hutang dengan betul (strategi OPM), dia akan lebih cepat kaya. Buat hutang yang membantu kita untuk lebih cepat kaya, minimumkan (lebih baik dihapuskan) hutang yang memiskinkan kita.
Cara Berhutang Untuk Kaya
Hutang untuk beli rumah bagi tujuan disewakan, beli kereta untuk bisnes kereta sewa, beli tanah yang boleh memberikan hasil, itu termasuk hutang yang membuatkan kita lebih kaya. Hutang kad kredit, hutang beli kereta, personal loan, hutang beli perabot dan alatan elektronik, itu semua hutang yang memiskinkan kita.
Jadi kita kena bijak memanfaatkan hutang. Minimumkan dan hapuskan hutang negatif. Kalau pun perlu berhutang, ambil sekadar cukup-cukup untuk keperluan sahaja, bukan untuk melayan kemahuan yang tak sudah-sudah itu. Manfaatkan hutang positif semaksimum mungkin, dan urusnya dengan betul. InsyaAllah. Itu cara yang betul memanfaatkan duit bank untuk kaya…
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
29 Jun 2015
12 Ramadhan 1436H
(Kredit foto : livetradingnews)
