Emas Penyelamat Dari Kejatuhan Ringgit

Tahun 2015 telahpun berlalu. Persoalannya, tahun 2015 adakah harga naik atau turun? Jika kita lihat pada graf harga emas DUNIA, harga emas sebenarnya jatuh. Harga tertinggi pada awal tahun sekitar USD1,300.70 dan turun pernah serendah USD1,050.80 pada akhir tahun. Kejatuhan sekitar 19% atau secara puratanya, sekitar 10.7%. Maksudnya, siapa beli awal tahun dan jual akhir tahun, dia mengalami kerugian!

Tetapi realiti di MALAYSIA tak begitu. Awal tahun 2015, harga emas sekitar RM140 per gram, bahkan pernah cecah RM135 per gram. Pada bulan Disember 2015, harga emas di Malaysia menutup tirai sekitar RM160. Ia kelihatan untung. Persoalannya kenapa?

harga emas dunia 2015Harga emas dunia turun sekitar 10.7% tahun 2015

Faktor utama pergerakan songsang harga emas dunia dan Malaysia adalah disebabkan RINGGIT telahpun jatuh sekitar 35% pada tahun 2015. Ribut ekonomi dan politik yang berlaku kepada negara kita tahun 2015 menyebabkan harga emas Malaysia tidak jatuh sebagaimana harga emas dunia, bahkan harga emas semakin naik. Maksudnya, emas mempertahankan kekayaan kita dari terus susut disebabkan kejatuhan ringgit.

kejatuhan ringgit 10 tahun 2015Ringgit jatuh 35% tahun 2015 ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun. Pernah mencecah RM4.40/USD.

Emas Sebagai Penyelamat Nilai

Salah satu sebab kenapa saya simpan emas ialah untuk lindungi kekayaan dari hilang disebabkan kejatuhan ringgit. Kalau kita toleh ke belakang, ringgit pernah jatuh 50% semasa negara dilanda krisis ekonomi 1997! Selepas kejatuhan ringgit itulah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mula membuka mulut tentang emas dan mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan syiling emas pertama negara iaitu Kijang Emas.

Berdasarkan pemerhatian saya, hampir kesemua pakar emas; mereka cenderung mengatakan emas itu ialah SIMPANAN. Fungsi utamanya ialah sebagai penyelamat nilai, bukan sangat PELABURAN yang boleh berkembang nilainya. Cuma bila nak diistilahkan sebagai “simpanan”, ramai orang akan ‘confuse’. Jadi istilah “pelaburan” lebih selesa digunakan.

Emas sebenarnya alternatif bagi simpanan duit, sebab duit kertas yang kita gunakan pun asalnya disandarkan kepada emas. Kalau kita kaji betul-betul sejarah emas, 1400 tahun dulu (zaman Nabi Muhammad s.a.w), 1 dinar mampu beli satu atau dua ekor kambing (bergantung kepada saiz dan jenis kambing). Tetapi hari ini, 1 dinar (harganya sekitar RM700) masih mampu beli satu atau dua ekor kambing juga, ia tak menjadi 10 atau 100 ekor kambing!

Maksudnya, kuasa beli emas bersifat KEKAL walauapapun berlaku kepada ekonomi dan politik dunia. Pendek kata, kalau simpan emas, kekayaan kita tak akan susut atau hilang.

1 dinar 1 ekor kambing1 dinar mampu beli seekor kambing sejak 1400 tahun dahulu sampai sekarang. Berbeza dengan duit kertas. 30 tahun dahulu, anak-anak sekolah mampu makan kenyang di kantin sekolah dengan hanya berbekalkan duit 50 sen. Tetapi sekarang, sekurang-kurangnya RM3.00 sehari. Nombornya bertambah, tapi kuasa beli berkurangan.

Kepentingan Emas Dalam Kewangan

Jadi kalau nak dikelaskan, emas boleh dikelaskan sebagai SIMPANAN, ia bukan PELABURAN dalam erti kata sebenar. Ia tak membuatkan kekayaan kita BERKEMBANG. Fungsi utamanya melindungi kekayaan kita daripada hilang disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan politik (dan juga gangguan emosi).

Dalam merancang kewangan, ada duit yang perlu disimpan, dan ada bahagian yang perlu dilaburkan supaya berkembang nilainya. Bukan semua duit perlu dilaburkan. Walaupun nampak lebih bijak kalau semua duit lebihan digunakan untuk “PELABURAN” tetapi kita juga berhadapan risiko PELEBURAN!

Tujuan utama saya simpan emas untuk SELAMATKAN nilainya. Biar tak berkembang pun tak apa simpanan itu, yang penting, kuasa belinya tak hilang sebagaimana duit kertas. Untuk kembangkan nilai, saya gunakan duit lain yang dikhaskan untuk pelaburan lain. Sebelum kita bercakap KEMBANGKAN nilai, bukankah lebih bijak kita adakan bahagian yang boleh SELAMATKAN nilainya dahulu?

Berapa Banyak Perlu Simpan Emas?

Cadangan saya, selepas cukupkan simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan dalam bentuk tunai di bank seperti Tabung Haji atau ASB, emas boleh dijadikan simpanan tambahan untuk mencukupkan menjadi 6 bulan pendapatan atau lebih. Duit dalam Tabung Haji atau ASB itu terjamin dari sudut NOMBORNYA, tetapi simpanan EMAS terjamin dari sudut NILAINYA dalam jangka panjang.

Simpanan emas ada risiko HARGA naik turun, tetapi Tabung Haji dan ASB juga ada risiko NILAINYA naik turun. Kekadang kita rasa simpan duit dalam Tabung Haji dan ASB lebih selamat dan tak ada risiko, tetapi sebenarnya itu silap. Duit Tabung Haji dan ASB pun menyusut juga (walaupun nombornya kekal) terutamanya disebabkan inflasi dan kejatuhan ringgit. RM10,000 hari ini pastinya tak sama nilainya berbanding 10 tahun akan datang. Ia makin mengecil.

Jadi saya berpegang kepada nasihat pakar kewangan Tuan Azizi Ali, 5% – 10% kekayaan kita perlu disimpan dalam bentuk emas pada setiap masa. Kalau kekayaan kita RM100,000, maksudnya RM10,000 perlu disimpan dalam bentuk emas. Duit selebihnya, laburlah ditempat lain yang kita mempunyai ilmu tentangnya untuk tujuan KEMBANGKAN kekayaan itu.

Menyimpan emas mungkin tak membuatkan kita kaya raya, tetapi yang pastinya, emas melindungi kita dari jatuh miskin!

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
5 Januari 2016
25 Rabiul Awwal 1437H

29 Comments

  1. jika kita berada di zon perang seperti di syria,bolehkah kita menggunakan emas sebagai tukaran makanan dan perubatan.?lakukah?…

    1. Emas tu cuma penyimpan nilai sahaja untuk dapatkan keperluan hidup. Pada waktu huru-hara begitu, apa lagi aset yang selamat dan nilainya masih kekal? Duit tak lagi. Saham dah lingkup. Tanah dan rumah dah habis musnah. Yang masih bernilai hanyalah emas & perak. Ia boleh digunakan untuk memulakan hidup baru ditempat lain.

  2. Terbaik Tuan, artikel yang berguna kpd sesiapa yang confius antara yang mempertikai kenapa simpan emas lama makin tak kaya2. Banyak faktor yang jadi begitu… teruskan berkongsi ya tuan..

  3. Alhamdulillah. artikel yang sangat membantu kami sebagai dealer menjawab persoalan daripada pelanggan….
    Sebagai pekerja saya percaya ramai yang perlu jadikan artikel sifu mohd zulkiflie sebagai rujukan…saya juga banyak berterima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar yang sifu berikan. Syukran Syukran Syukran

  4. Inilah pertama kali saya diterangkan dengan ringkas fungsi simpanan emas, yang mana saya betul setuju yang ia adalah sebuah SIMPANAN, dan bukan PELABURAN. Cuma mungkin perlu ditambah lagi maklumat penting, iaitu sebelum kita mula menyimpan emas, pastikan yang hutang tidak baik (kad kredit la selalunya) dilangsaikan terlebih dahulu, kerana kadar faedah kad kredit boleh meningkat jauh lebih cepat berbanding kenaikan nilai emas.

  5. Salam,

    Satu kupasan dan analisis yang baik dari Tuan Zulkifli.

    Saya berpendapat bahawa emas bertindak sebagai penyimpan nilai seperti yang diterangkan dalam artikel tuan hanya akan berlaku dalam konteks di mana nilai ringgit telah susut berbanding dengan nilai USD (perlu diingat bahawa pasaran emas dunia didagangkan dalan USD).

    Keadaan ini akan menjadi sebaliknya sekiranya nilai ringgit meningkat berbanding nilai USD, iaitu harga emas dalam RM di mana akan jatuh.

    Walaubagaimanapun, dua situasi di atas adalah dalam jangka waktu yang singkat disebabkan “volatility” mata wang yang didagangkan sebagai komoditi seperti emas. Dalam apa jua keadaan, kualiti dan berat emas itu akan kekal dan dalam jangka waktu yang lebih panjang, misalnya 20 tahun waima 1400 tahun.

    Sekian pendapat dari saya yang masih muda dan jahil. Penjelasan / kupasan seterusnya dari Tuan Zulkifli atau mana-mana pembaca blog ini yang lebih arif dialu-alikan.

    Terima kasih

    1. Wslm Pn. Dina,

      Saya tak berapa arif tentang Power Gold. Lebih baik puan terus refer ejen mereka. Cuma paling penting, beli emas mesti dapat emas. Emas tu kita simpan sendiri. Apa pun berlaku, duit kita selamat, insyaAllah.

      1. Tuan nk tanye..tuan ad bgtaw beli emas dpr emas.. bagaimana pula emas yg kite beli tp kite xpegang..tp simpn di GAP..
        Klu co.bankrap ataw ttp mcm mne..maaf bertnye..

        1. Betul. Beli emas dapat emas.

          GAP pun beli emas dapat emas. Emas tu kita boleh keluarkan dan simpan sendiri pada bila-bila masa tanpa halangan. Berbeza dengan pengajur skim cepat kaya bertopengkan emas atau Akaun Emas di bank, beli emas tapi emas tu memang tak boleh dapat. Kalau dapat pun, terlalu banyak halangan, antaranya kena tunggu tempoh matang dan sebagainya.

          Kalau company bankrup, emas tu memang wujud dan cover insuran.

  6. Assalammualaikum dan Selamat Tahun Baru Tuan Zul. Satu artikel yang menyentuh hati saya untuk terus menyimpan emas sebagai penyimpan nilai. Alhamdulillah.

  7. Assalamualaikum Tuan Zul,

    Kalau ikutkan ape yang saye bace dari buku tuan, untuk cukupkan 3 bulan simpanan kite perlu pastikan at least 10% to 30% dari pendapatan di simpan ke akaun seperti Tabung Haji or ASB. (Correct me if im wrong)

    B0leh saya tau berapa nilai yang perlu kite simpan (Emas) setiap bulan (if possible) selepas kite cukup simpanan wang 3 bulan pendapatan.

    Terima Kasih

    1. Wslm En. Firdaus.

      1. Untuk cukupkan 3 bulan pendapatan, tak semestinya dengan duit potongan gaji 10% – 30%. Ia boleh jadi duit bonus tahunan atau duit durian runtuh kita top-up terus dalam dana kecemasan tu. 10% itu sebenarnya disiplin yang kita perlu ada untuk menyimpan setiap bulan untuk kegunaan masa depan atau untuk pelaburan.

      2. Kalau simpanan 3 bulan dah cukup, boleh gunakan duit 10% tu untuk beli emas sebagai simpanan.

  8. Assalammualaikum Tuan,

    Saya nak tanya, jika dah cukup simpanan 3 bulan, simpanan seterusnya dalam bentuk emas untuk 6 bulan maksudnya bagaimana?
    1. Contohnya gaji RM 3000, simpanan 3 bulan = RM 9000. Maksudnya untuk next saving kena beli emas harga RM 9000. Betul ke?

  9. Sekadar pandangan;

    Duit kertas/fiat itu debt. Nilainya bersandarkan confidence dan persepsi shj.

    Income Bank-bank di seluruh dunia adalah drpd deposit/savings dan loan beserta interest/bunga/upah yang kenakan pd rakyat mcm kita semua. Debt=money. Lebih byk loan yg kita buat, makin banyaklah duit bank. Itulah rangka sistem kewangan dunia dan Malaysia. Itulah hakikatnya.

    Debt malaysia sudah 55% dari GDP. Jepun, amerika hutangnya sudah lebih dari GDP.

    Emas hanyalah simpanan yg kalis inflasi. Pelaburan emas hanyalah beli pd waktu harga murah dan jual balik pd waktu harga mahal utk ambil untung. Itu sahaja. Dan BUKAN dijanjikan income bulan2 spt pegasus, pak man telo dll.

    Jika harga emas jatuh, ini menandakan nilai matawang kertas dollar mengukuh. Jika dollar lemah, harga emas akan naik. Hubungan songsang di situ. ?

    Akhir kata, emas ni fungsinya SECURE nilai. Emas nilainya berdiri dgn sendiri mengikut berat emas tersebut. Saham dan matawang kertas bergantung pd persepsi dan confidence shj.

    Salam.

  10. Salam..
    Nak tanya pendapat tuan tentang pelaburan perak untuk keuntungan & simpanan ketika kecemasan/darurat.. Ada blog kata disebabkan perak lebih ‘demand’ dlm bidang industri & naik turun harga lebih baik. Betulkah?.
    Terima kasih..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *