Emas Sebagai Modal Pusingan Bisnes

Pernah suatu ketika, sudah jadi sinonim bagi peniaga-peniaga wanita Kelantan memakai barang kemas ‘sampai ke lengan’. Gelang-gelang emas yang dipakai akak-akak peniaga itu sebenarnya bukan sekadar perhiasan, tetapi itulah simpanan dan juga modal pusingan bisnes mereka.

Bila perlukan duit untuk berniaga, mereka pajak sahaja emas tu di pusat pajak gadai (waktu itu belum ada ar-rahnu) untuk dapatkan pinjaman segera. Bila dah selesai urusniaga, mereka tebus balik emas tu. Emas mereka dapat balik, beserta keuntungan tunai hasil bisnes itu tadi. Dan yang paling penting, duit modal mereka itu tak akan ‘bocor’ sebab ianya dalam bentuk emas.

Sebelum ini, memang ada beberapa peniaga kecil dan sederhana yang jumpa saya nak beli emas. Mereka nak jadikan emas untuk simpan duit bisnes sekaligus dijadikan modal pusingan bisnes. Kebanyakkannya peniaga yang berniaga secara “project basis”. Duit modal hanya digunakan untuk beberapa ketika bila dapat projek sahaja. Lepas selesai projek dan dapat balik duit, duit itu biasanya tak digunakan dan hanya tersimpan dalam akaun bank.

#1 – Selesai Masalah ‘Kebocoran’ Modal

Bila duit itu terbiar dalam akaun, maka duit itu berisiko besar untuk ‘bocor’, terutamanya untuk kegunaan peribadi. ‘Tarik’ sikit-sikit, lama-lama berbukit duit itu habis! Untung tak nampak, modal entah ke mana!

Ianya berbeza bila modal bisnes sudah ‘diikat’ dengan emas. Kita tak berpeluang ‘rompak’ duit bisnes seratus dua untuk kegunaan peribadi (ingat, duit bisnes bukan duit peribadi) sebagaimana duit tunai. Ditambah lagi dengan kesan emosi “suka kumpul, tetapi sayang nak jual emas”, jadi modal pusingan bisnes itu lebih ‘selamat’ dalam bentuk emas berbanding dibiarkan dalam bentuk tunai di bank.

#2 – Selesai Masalah Pinjaman Jangka Pendek

Saya diberitahu lagi, masalah biasa mereka yang berniaga secara “project basis” ialah untuk dapatkan pinjaman tempoh singkat; tempoh cukup-cukup untuk sesuatu projek sahaja.

Pinjaman bank biasanya perlukan tempoh minimum 2 tahun, sedangkan mereka cuma perlukan duit hanya untuk beberapa bulan sahaja. Kalau bayar awal pun, ia tetap merugikan sebab ansuran pinjaman bank (pada peringkat awal pinjaman), portion paling besar hanya untuk bayar caj interest sahaja.

Jadi susah untuk buat anggaran kos sebenar pinjaman untuk dimasukkan sebagai kos sesuatu projek, dan dicaj sekali dalam quotation kepada pelanggan. Ia berbeza dengan caj pinjaman ar-rahnu (yang bercagarkan emas). Ia lebih senang dikira sebab ia dikira secara bulanan, iaitu sekitar 1.15% sebulan dari nilai pinjaman. Caj ar-rahnu itu senang dikira dan dimasukkan terus ke dalam kos sesuatu projek.

#3 – Senang Monitor Perkembangan Modal

Antara cabaran mereka yang berniaga secara kecil dan sederhana, mereka susah monitor perkembangan modal. Mereka tak ada akauntan sepenuh masa yang boleh betul-betul jaga rekod kewangan bisnes. Nak rekod sendiri memang tak sempat, dan kebanyakkanya memang tak tahu pasal rekod kewangan bisnes.

Duit keluar masuk hanya nampak atas kertas sahaja. Itupun kalau rekod kewangan mereka betul. Lagi rumit bila dapat projek yang mereka dapat tu bertindan-tindan. Dah tak tahu yang mana “untung”, dan yang mana “modal”. Jadi mereka tak pasti berapa banyak sebenarnya “modal pusingan” yang ada sekarang.

Ia berbeza kalau simpan emas. Mereka tahu berapa kepingan / gram emas yang mereka ada. Modal pusingan itu disimpan dalam bentuk emas. Dapat untung, tambah modal pusingan dengan membeli emas. Jadi, modal pusingan boleh dipantau berdasarkan berapa kepingan / gram emas yang kita ada. Tak perlu pening dengan rekod kewangan yang rumit dan leceh itu.

#4 – Lebih ‘Selamat’ Berbanding Fixed Deposit

Bagi peniaga yang perlukan pinjaman bank untuk kembangkan bisnes, duit-duit bisnes sebenarnya lebih baik disimpan dalam fixed deposit. Ia lebih meyakinkan pihak bank bagi kelulusan pinjaman. Fixed deposit itu boleh jadi jaminan kepada bank yang kita mampu bayar balik pinjaman.

Tetapi kalau simpan dalam fixed deposit sekadar untuk dapat keuntungan tanpa apa-apa keperluan pinjaman bank, saya rasa emas lebih baik dan lebih terjamin. Keuntungan fixed deposit biasanya sekitar 3% – 4%, dan ia tak berbaloi berbanding kadar inflasi. Itu belum dikira bila berlaku penyusutan nilai ringgit! Jangan lupa, ringgit pernah jatuh 50% tahun 1997, dan telahpun jatuh 35% tahun 2015! Ia berbeza kalau kita simpannya dalam bentuk emas. Emas aset kalis inflasi dan kalis kejatuhan ringgit!

Jadi berdasarkan empat (4) faktor di atas, para peniaga boleh pertimbangkan untuk jadikan emas sebagai salah satu bentuk modal pusingan bisnes. Bila-bila perlukan duit tunai untuk rolling, pajak sahaja emas itu di ar-rahnu untuk dapatkan tunai segera. Bila dapat hasil bisnes, tebus balik emas itu. Emas bagi saya sama sahaja macam duit tunai tetapi dalam bentuk yang lebih selamat nilainya.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
15 Disember 2015
4 Rabiul Awwal 1436H

[Kredit foto : wallapaperbeta]

9 Comments

  1. as salam en zul..sy nak minta pndapat en zul berkaitan Power gold dan zenith gold..sebab ad kawan yang tanya kat saya,tapi saya x pasti ttg kedua2 syarikat ni..dua2 ni patuh syariah ke?..t.kasih..

  2. as salam en zul..pada pndapat en zul,bbaloi x kalau sy tukar sebahagian simpanan emas sy untuk tujuan perniagaan..sy terfikir untuk buat bisnes vending machine,letak kt tmpat2 strategik..mgkin bole jadi side/passive income..@ mgkin en zul ad pnah tau ttg bisnes ni..mtk pndangan ye..t.kasih..

    1. Wslm En. Aiezat,

      1. Jual emas untuk digunakan sebagai modal pusingan bisnes, itu alasan yang bagus untuk jual. Lebih baik jual daripada disimpan kalau ada peluang bisnes yang bagus.

      2. Tentang bisnes vending machine tu kena belajar daripada mereka yang ada pengalaman. Kekadang kita nampak luarannya bagus, cuma cerita ‘sepak teranjangnya’ kita kena belajar daripada mereka yang berpengalaman.

      Wallahu a’lam.

  3. assalamualaikum en zul. saya nak minta pendapat saya ada berniaga kecil kecilan . dan setiap kali ada customer beli product saya terus akan beli emas sebab takut duit tu bocor. dan sekarang ni product saya dah habis dijual. dan saya nak pusing modal tersebut terasa sayang nak cagarkan emas tersebut. jadi ape yang perlu saya lakukan. kerana saya risau emosi saya terhadap sayang emas tersebut akan hilang kerana terlalu banyak kali cagaran. saya minta pendapat encik zul yang lebih arif. adakah elok sistem perniagaan saya ni. itu saja terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *