4 Kerugian Pajak Barang Kemas
“Beli barang kemas, nanti senang nak pajak”, antara nasihat yang masyhur kita dengar. Dan nasihat tu memang betul sebab ar-rahnu di bawah pengurusan bank hanya terima barang kemas sahaja (sejak tahun 2011), tapi nasihat umum begitu sebenarnya telah memerangkap ramai pelabur. Pelaburan emas pada asasnya TAK PERLU PAJAK. Yang kedua, memajak emas perlu ada strategi yang betul dan kira-kira yang teliti.
Kalau tak tahu bila masa terbaik untuk pajak, macam mana buat kira-kira untung rugi dengan ar-rahnu, dan tak ada strategi yang betul, memang confirm ia memerangkap pelabur emas ke dalam belengu hutang ar-rahnu. Kenapa ramai pelabur terperangkap? Perkara paling penting yang mereka lupa, spread (susut nilai) barang kemas biasanya sekitar 25% (sangat tinggi)!
Kerugian #1 – Susut Nilai Tinggi (25%)
Siapa beli barang kemas hanya semata-mata nak memudahkan pajak, dia kerugian 25% on the spot! Kalau anda jual emas tu di kedai emas, mereka akan tolak spread (susut nilai) sebanyak 25%. Maksudnya, kalau anda tak pajak pun emas tu, anda perlu tunggu at least harga emas naik sebanyak 25% baru boleh BALIK MODAL. Jangan cerita pasal untung lagi sebab jarang sekali harga emas melepasi 25% dalam tempoh setahun. At least 2 – 3 tahun baru balik modal. (Rujuk artikel “Perbandingan Spread (Susut Nilai) Emas di Malaysia” untuk fahami pengiraan susut nilai, dan fahami 4 kerugian membeli barang kemas di artikel “Barang Kemas vs Emas Pelaburan, Mana Lebih Untung?“.).
Selain susut nilai barang kemas yang tinggi, ada tiga (3) lagi risiko kerugian iaitu:
- Caj upah simpan / caj pajakan yang mahal;
- Harga emas yang tak naik, bahkan lebih rendah daripada harga anda beli;
- Harga emas lebih mahal dari harga ar-rahnu.
Kerugian #2 – Caj Upah Simpan (13.8% Setahun)
Ramai orang fikir, caj ar-rahnu cuma 0.75% – 1.00% sahaja sebulan, tapi sebenarnya mereka silap sebab caj itu dikira atas NILAI MARHUN (nilai emas), bukan atas NILAI PINJAMAN. Bila nak kira kos untuk ‘investment’, kita kena kira kos atas modal yang kita dapatkan iaitu “nilai pinjaman”.
Caj pajakan Ar-Rahnu Agrobank.
Berdasarkan kira-kira yang saya buat, kos sebenar pajakan ar-rahnu ialah sekitar 1.15% – 1.54% sebulan (atau 13.8% – 18.5% setahun) daripada JUMLAH PINJAMAN yang diberikan. Memang banyak, hampir sama dengan kadar interest kad kredit!
[Illustrasi : Kos pajakan 6 bulan ialah 6.9% (1.15% x 6 bulan)]
Kalau ambil kira susut nilai 25% + kos pajakan 6.9%, bermakna anda perlu tunggu harga emas naik 31.9% baru anda BALIK MODAL! Itu belum ambil kira caj pajakan yang lebih mahal i.e. sehingga 1.54% sebulan.
Kerugian #3 – Harga Emas Bergerak Mendatar
Tempoh asas pajakan adalah 6 bulan. Sesetengah ar-rahnu bagi lagi tempoh lanjutan 3 bulan – 6 bulan. Katakanlah anda pajak emas bernilai RM10,000, tapi lepas 6 bulan, nilai semasa emas masih lagi RM10,000 kerana harga bergerak MENDATAR, maka di sinilah akan mula nampak masaalah sebab emas tu perlu ditebus sedangkan;
- Anda kena tanggung kos pajakan 6.9%;
- Kalau jual emas (surat pajak) tu, anda rugi lagi 25%!
Jumlah kerugian 31.9%!
Kalau modal RM10,000, senang-senang rugi sekitar RM3,190! Kalau harga emas turun 10% daripada harga anda beli, maka kerugian mudah ialah 41.9% (31.9% + 10%) bersamaan RM4,190. Dan anda boleh agak apa akibatnya. Emas yang ada kononnya nak melabur, akan berakhir dengan emas tu lebur dilelong ar-rahnu!
Lepas September 2011 (garisan merah), ramai pemajak tegar mula berduka cita…
Teknik Manipulasi Ar-Rahnu perlu disemak semula kalau nak dilakukan pada hari ini.
Kerugian #4 – Harga Lebih Mahal Berbanding Ar-Rahnu
Kalau anda beli barang kemas di kedai emas, satu lagi kerugian besar iaitu harga barang kemas lebih mahal daripada harga di ar-rahnu. Maksudnya, pinjaman yang anda dapat jauh lebih rendah berbanding harga yang anda beli. Contohnya, masa harga emas 916 yang dijual di kedai emas RM160 segram (tak termasuk kos upah), harga Ar-Rahnu Agrobank cuma RM147 segram. Bila anda pajak emas tu, ar-rahnu akan bagi pinjaman sekitar 65% – 70% daripada RM147 segram, bukan RM160!
Kalau anda nak beli juga barang kemas untuk pajak pun boleh, tapi pastikan beli pada harga sama atau lebih rendah dari ar-rahnu. Mungkin beli emas yang dilelong, penjual terdesak, atau beli barang kemas i-series yang dijual oleh Public Gold.
Satu perkara penting yang anda mesti ingat, kalau peniaga emas terlalu mempromosikan pajak kepada anda, orang pertama yang confirm untung besar ialah peniaga emas sebab ia boleh tingkatkan jualan berkali-ganda! Tapi para pemajak berhadapan dengan risiko kerugian lebih besar berbanding peluang menjana keuntungan besar!
5 Nasihat Untuk Pemajak Barang Kemas
Jadi nasihat saya:
- Nasihat #1: Beli emas yang spreadnya rendah. Dah banyak ar-rahnu terima pajakan gold bar, gold coin, dan dinar terutamanya ar-rahnu swasta dan di bawah pengurusan koperasi. Kalau anda nak beli barang kemas juga, saya syorkan barang kemas i-series Public Gold sebab susut nilainya cuma 10% berbanding barang kemas biasa 25%.
- Nasihat #2: Buat kira-kira, adakah berbaloi upah simpan yang anda perlu tanggung berbanding peluang menjana keuntungan dengan duit pinjaman ar-rahnu yang anda dapat.
- Nasihat #3: Kalau anda pajak emas bagi mendapatkan modal untuk beli lagi emas pada harga rendah i.e. Teknik Manipulasi Ar-Rahnu, pastikan ianya berada pada paras harga yang selamat mengikut pandangan Analisis Teknikal. Kalau anda tak tahu Analisis Teknikal, rujuk mereka yang pakar tentang analisis.
- Nasihat #4: Pajak emas dalam jumlah yang berpada-pada. Kalau harga emas tak naik dalam tempoh pajakan 6 bulan, anda dah ready dengan Plan B sebagai jalan keluar. Contohnya, stand-by duit lain untuk tebus emas tu atau bersiap sedia untuk absorb kerugian. Point pentingnya, jangan tamak. Orang tamak selalu rugi…
- Nasihat #5: Fahami strategi memanfaatkan duit pinjaman ar-rahnu. Kalau pajak untuk rolling modal perniagaan, bagi saya ia tak ada masalah sebab anda dah boleh jangka keuntungan perniagaan yang bakal anda dapat berbanding kos pajakan. Tapi kalau guna duit pajak untuk belanja hangus, memang emas tu akan hangus dilelong ar-rahnu. Jangan tanya saya mana nak cari duit untuk tebus emas tu nanti! (“,)
Nanti berkelapangan, saya akan tulis artikel “Teknik Sebenar Manipulasi Ar-Rahnu”. Saya tak menjanjikan sebarang “magic solution”, tapi saya berikan panduan yang selamat dan menguntungkan, insyaAllah. Dan saya tak syorkan anda buat “manipulasi ar-rahnu” kalau anda belum betul-betul buat kira-kira meyakinkan dengan ambil kira faktor ketidaktentuan harga emas sekarang serta jalan keluarnya. Sebab, pelaburan emas fizikal pada asasnya TAK PERLU PAJAK. Beli dan simpan. Bila nak pakai duit untuk belanja hangus, terus jual. Itu jer…
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Merapoh
26 Mei 2013
16 Rejab 1434
Nota 1 – Kos Pajakan Paling Minimum : Pemerhatian saya, caj pajakan (upah simpan) paling rendah setakat ni ialah Ar-Rahnu Agrobank dan Ar-Rahnu Bank Rakyat. Iaitu pinjaman 70% dari nilai emas (marhun) dengan caj upah simpan RM0.75 atas setiap nilai emas RM100. Jadi, kadar sebenar atas NILAI PINJAMAN ialah 1.07% sebulan, bersamaan 6.43% untuk tempoh 6 bulan, atau 12.86% setahun. Itu caj MINIMUM.
Tapi jangan lupa, bukan semua pemajak boleh dapat serendah itu sebab sesetengah ar-rahnu hanya benarkan caj lebih rendah untuk pajakan kali kedua dan seterusnya sahaja. Bukan untuk pemajak yang first time.
Artikel berkaitan:
- 10 Kesilapan Pelabur Emas!
- Cara Mudah Membeli Emas Public Gold
- Cara Memajak Emas di Ar-Rahnu
- Barang Kemas vs Emas Pelaburan, Mana Lebih Untung?
- Perbandingan Spread (Susut Nilai) Emas di Malaysia
- 5 Kriteria Penting Memilih Emas Pelaburan
- Bila Masa Terbaik MEMBELI Emas?
- Senarai Artikel Pelaburan Emas di Blog Ini
- 5 Rahsia Pelabur Emas Yang Sentiasa Senyum
- eBook Percuma: 5 Minit Review Tentang Emas! (pdf)
Tanya pakar dulu sebelum bermula, boleh menyelamatkan kerugian RM50,000!


