Memupuk Tabiat Orang Kaya Dengan Emas
Ada seorang pembaca blog ini hubungi saya, beliau mula membeli emas selepas membaca blog saya ini. Bila sudah bermula, dia jadi ‘ketagih’ membeli emas. Disebabkan ketagihan menyimpan emas, sedar-sedar sudah RM38,000 duitnya sudah ditukar kepada emas dalam tempoh 7 bulan! MasyaAllah, itu ketagihan yang baik. Ia berbeza dengan ketagih berbelanja, sedar-sedar bank telefon sebab bil-bil kad kredit sudahpun berbulan-bulan tertunggak.
Untuk membina kekayaan, antara kerja keras yang perlu kita usahakan bukan sekadar mencari pelaburan yang ROI-nya (Return on Investment) paling tinggi, tetapi membentuk TABIAT DAN SIKAP kita terhadap wang. Kalau jumpa pelaburan ROI tertinggi sekali pun, ia tak akan kaya membuatkan kita kaya selagi tabiat dan sikap masih lagi tidak berubah.
Bukan Sebab Bijak, Tetapi Tabiat
Tabiat orang kaya-kaya ialah MENGUMPUL HARTA. Mereka puas bila harta bertambah. Mereka membeli, membeli dan terus membeli harta. Kekayaan mereka makin lama makin bertambah. Tetapi ia berbeza dengan orang kebanyakkan.
Tabiat orang kebanyakkan ialah BERBELANJA dan menambah hutang semaksimum yang mana boleh. Kepuasan mereka ialah dengan berbelanja walaupun pendek kata, semuanya sudah ada belaka. Contohnya, kereta sudah ada dan masih berfungsi dengan baik pun nak ditukar baharu.
Dalam membuat pelaburan, mereka mungkin lebih bijak dari orang kaya. Tetapi bila melabur, mereka dah siap-siap fikir, ke manakah wang itu akan DIBELANJAKAN bila dapat untung dalam pelaburan nanti. Jadi untung banyak mana pun, kekayaan mereka akhirnya bocor juga…
Kesan Emosi Penyimpan Emas
Untuk kaya, kita sebenarnya tak perlu secerdik rocket scientist, tetapi cukup dengan memperbetulkan tabiat sebagaimana tabiat orang kaya-kaya. Salah satu cara memupuk tabiat orang kaya yang boleh saya sarankan ialah mula menjadikan emas sebagai salah satu bentuk simpanan jangka panjang.
Kalau kita perhati, walaupun harga emas naik banyak sekalipun, ‘masalah’ ramai penyimpan emas ialah rasa “sayang nak jual”. Emas mempunyai kesan emosi kepada penyimpannya, ia berbeza dengan menyimpan duit kertas.
Emas memberikan kesan emosi positif kepada penyimpannya.
Perasaan “sayang nak jual” membuatkan kekayaan kita bertahan dan terus bertambah. Mungkin cara saya tak sesuai untuk orang lain, tetapi saya terus membeli, membeli, dan membeli emas sejak 2010 tanpa pernah menjualnya. Saya fikir, saya hanya akan jual samada; (1) terdesak nak pakai duit seadangkan duit lain sudah habis, atau (2) tukar kepada aset fizikal lain seperti membeli rumah, tanah dsb. Bukan untuk “ambil untung”.
Bukan ROI Membuatkan Kita Kaya
Kekadang kita mencari pelaburan yang paling tinggi ROI-nya. Tetapi kerugian lebih besar kewangan kita (termasuk saya juga) bukan disebabkan ROI negatif, tetapi duit bocor disebabkan desakan EMOSI yang kuat untuk berbelanja bila ‘ada duit’. Selagi ada duit, emosi kita terganggu. Bila duit dah habis baru rasa lega… Betul tak? 🙂
Kalau itu masalahnya, mungkin emas adalah ubatnya… Rasa lega duit habis membeli emas tak apa sebab emas itu ‘duit’ juga, tetapi dalam bentuk berbeza… Bak kata seorang follower Facebook saya, emas bukan sekadar kalis inflasi, tetapi emas juga kalis boros! 🙂
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
28 Oktober 2015
15 Muharram 1437H
(Kredit foto : pjtaccountants, Tuan Haji Wazir)
